Sunday, March 01, 2015

Kisah Kak Ngah dalam majalah Jelita Mac 2015. Semoga bermanfaat untuk semua.

Assalamualaikum..


Alhamdulillah..

Masih ada ruang meneruskan coretan.
Alhamdulillah kami sekeluarga masih sihat walafiat dengan izin Allah.


Awal Februari yang lalu kisah Kak Ngah mendapat perhatian seorang penulis bagi Majalah Jelita, Puan Norashikin. Beliau meminta izin untuk menyiarkan coretan-coretan saya di Blog Haruman Syurgawi ini mengenai K.Ngah. Dengan sedikit olahan semula daripada beliau, kisah K.Ngah sejak 9 tahun yang lalu akhirnya terkumpul dan berjaya dipaparkan untuk manfaat bersama dalam Majalah Jelita keluaran Mac 2015.


Jelita Mac 2015
Saya juga turut mendapat respon melalui emel dan komen blog daripada ibu-ibu yang ingin tahu lebih lanjut mengenai pengalaman kami membesarkan anak yang mengidap jantung berlubang. Semuanya sejak saya ceritakan serba ringkas pengalaman tersebut dalam entri ini di Blog Mauceriasokmo yang juga milik saya. 


Mudah-mudahan sedikit perkongsian pengalaman kami itu dapat memberi semangat dan harapan kepada ibubapa yang juga mempunyai anak dengan penyakit sebegini. Cerita yang saya paparkan di Blog Haruman Syurgawi cuma secebis daripada pengalaman sebenar kami. Ada bahagian-bahagian tertentu yang tak terluah di sini kerana kami ingin sentiasa bersangka baik dengan setiap taqdirNya.


Pelbagai ujian telah dilalui Kak Ngah yang kadangkala kami rasa kuatkah dia menanggungnya.. namun, pasti ada asbabnya setiap apa yang berlaku. Dan kami redha kerana kami tau Allah telah memberi kekuatan buat Kak Ngah melaluinya. Jantung membengkak, dada meninggi, paru-paru hampir banjir darah, lelah, kerap demam panas, selalu keletihan serta dicabut 12 batang gigi serentak..ini adalah antara saat-saat yang sukar yang pernah Kak Ngah lalui. Alhamdulillah...memang benar. Allah jadikan K.Ngah cukup kuat mengharungi semuanya..


Bagi kami, kami cukup bersyukur kerana 9 tahun yang telah Kak Ngah lalui akhirnya dapat kami sama-sama tempuhi dengan penuh hikmah yang hanya Allah lebih mengetahuinya. Banyak saat-saat yang dilalui merapatkan lagi hubungan saya dan suami serta keluarga kami.


Apalah sangat ujian ini jika dibandingkan dengan ujian yang lebih besar dihadapi ibu bapa lain di luar sana. Sangat bersyukur kerana kini Kak Ngah sudah boleh meneruskan kehidupan sebagaimana kanak-kanak lain. Alhamdulillah.


Untuk ibu bapa yang mempunyai anak yang sakit, jangan sesekali terlalu bersedih dan mudah mengalah. Sentiasalah bersangka baik dengan ujianNya. Jika duit masalahnya, ia boleh dicari. Percayalah Allah sentiasa akan mencukupkan rezeki bagi setiap anak yang dilahirkan..namun jagalah sebaik mungkin amanah yang telah diberikan ini walaubagaimana sekalipun. 

Berikhtiarlah selagi mampu. Doa seorang ibu juga adalah penawar terbaik buat si anak. Dan yang paling penting redhalah dengan ujian Allah dan percayalah ada hikmah yang besar bagi setiap perkara yang berlaku.




Saya doakan mudah-mudahan Allah melindungi dan merahmati kita semua..InsyaaAllah..

Segala yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu adalah dari kelemahan saya sendiri sebagai hambaNya yang dhaif. Semoga dipermudahkan segala urusan kita dunia akhirat. Doakan kita diberi kekuatan dan kemampuan menjaga anugerah istimewa ini sebaik mungkin.
Ameen.


Ikhlas,


Ummi Ana.